Tidak wujud pemimpin parti yang bersih 100 peratus
SHAH ALAM - Tidak wujud lagi pemimpin parti politik yang benar-benar ‘bersih’ dihormati oleh parti dan rakyat.
Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata di dalam parti mana sekalipun belum wujud pemimpin yang benar-benar bersih.
“Tetapi ini tidak berlaku dalam UMNO selama ini, kalau kita nak sebut tentang figura pemimpin, saya nak tanya ada pemimpin parti politik yang benar-benar bersih dan betul-betul dihormati oleh ahli parti dan rakyat, jawapannya tidak ada.
“Baik dalam PKR, Amanah, Pejuang atau Bersatu tiada seorang pemimpin parti 100 peratus diakui baik dan bersih,” katanya pada Wacana Siri 388: Pemilihan UMNO: 'Strategi Kembali Berkuasa?' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut mengenai pemimpin tertentu yang lantang mengkritik kepimpinan UMNO selama ini, Shahaniza berkata perkara ini tidak sepatutnya timbul di kalangan pemimpin tertinggi parti mempersoalkan tentang pemimpin dia sendiri.
“Pokok utamanya adalah kesetiaan, kalau kita tak setia jadi kita cakap pasal masalah dalaman parti, kita mempertikaikan pemimpin sedangkan dalam Islam kena taat pada pemimpin.
“Saya selalu cakap kalau nak masuk UMNO kena baca dulu perlembagaan UMNO, kamu faham tak penubuhan UMNO ini untuk apa?Apa niat kita masuk?
“Adakah niat kita untuk kepentingan diri atau perjuangan. Bila niat untuk diri sendiri dia tak bawa parti,” ujarnya.
Mengenai pemilihan kali ini, beliau agak skeptikal akan berlaku perpecahan ditambah dengan cerita yang tidak enak didengar yang akan menyebabkan persepsi buruk terhadap UMNO,
“Alhamdulillah siri pemilihan kali ini walaupun ada juga kes-kes terpencil yang kontroversi segalanya berjalan lancar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!