UMNO kalah bukan kerana seorang figura tetapi sebab khianat

Wacana Sinar Siri 388 membincangkan Pemilihan Umno:Strategi Kembali Berkuasa?, menerusi bersama panel jemputan Mohd Razlan (dua kiri), Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Yahya (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Wacana Sinar Siri 388 membincangkan Pemilihan Umno:Strategi Kembali Berkuasa?, menerusi bersama panel jemputan Mohd Razlan (dua kiri), Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Yahya (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan disebabkan figura tertentu dalam parti itu sebaliknya melibatkan banyak faktor termasuk pengkhianatan.

Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, bukan hanya UMNO yang menerima tamparan seperti itu, tetapi Pakatan Harapan (PH) juga dijatuhkan hanya kerana janji atau manifesto tidak dapat ditunaikan.

Justeru ujarnya, bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat, imej parti patut dibaiki dan dinaiktarafkan.

"Pakatan Harapan pernah menang dan dibenci dalam masa enam bulan kerana janji 100 hari, manifesto tidak ditunaikan.

"Ini maksudnya untuk kembali mendapatkan keyakinan daripada rakyat itu berkait rapat bagaimana kita hendak imej atau menggambarkan parti kepada mereka.

"Terdapat banyak faktor (UMNO) kalah, bukan disebabkan seorang figura. Tidak akan ada sesatu parti jatuh kerana seseorang individu, kebangkitan parti itu mesti dibuat menerusi pelbagai tugas yang perlu dilaksanakan oleh semua kepimpinan untuk meraih sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis dalam program Wacana bertajuk 'Pemilihan UMNO: Strategi kembali berkuasa yang dihoskan Azlan Shah Nabees Khan yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut berganding bersama beliau selaku panelis adalah dua lagi ahli MKT, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Tambah Mohd Razlan, bagi meningkatkan imej UMNO, pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan perlu memainkan peranan terutamanya penglibatan bersama media.

"Saya tidak suka menempelak orang tetapi perlu kita jelaskan, satu contoh orang UMNO memegang jawatan menteri, yang pertama mereka akan membawa usaha untuk meningkatkan imej parti kepada rakyat.

"Tetapi ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, beliau tidak tonjolkan parti atau memberi ruang kepada UMNO untuk mendepankan pemimpin kita dalam majlis seperti ini.

"Kita tidak dibenarkan bercakap dengan media, sepatutnya ketika itu kita mencorakkan pemikiran untuk menonjolkan pemimpin parti yang akhirnya rakyat akan menyokong kita," ujarnya.

Sementara itu, katanya lagi, jika mahu parti terus mendapat sokongan khususnya terhadap kepimpinan maka mereka perlu membuang kebimbangan dan pemikiran negatif.

"Ketika bersama Perikatan Nasional pula, mereka mempunyai rasa ketakutan, kebimbangan dan konflik dalam diri seperti keadaan 'jika aku buat elok-elok, naikkan parti,' Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dapat nama.

"Perkara ini yang menjadi igauan kepada Jemaah Menteri jadi dari pandangan saya, hal seperti ini perlu dibuang. Kesimpulannya, kekalahan UMNO ini melibatkan banyak faktor bukan seorang figura.

"Malah ada juga ahli Parlimen kita sendiri memburukkan presiden dalam majlis besar. Ia adalah satu pengkhianatan, api dalam sekam sekali gus menyumbang kepada kekalahan UMNO," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!