Tiada siapa paksa jual Menu Rahmah
DI sini rahmah, di sana rahmah. Di mana-mana ada rahmah.
Walaupun sudah lebih satu bulan Menu Rahmah diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, namun sehingga hari ini ada saja pihak yang masih tidak dapat memahami pelaksanaan inisiatif kerajaan itu.
Ini berkenaan dengan sebuah video ‘luahan perasaan’ seorang pemilik premis makanan yang menjual Menu Rahmah terpaksa gulung tikar akibat mengalami kerugian besar.
Video berkenaan dibanjiri dengan cemuhan dan kecaman warganet yang menyatakan pemilik restoran terbabit hanya sekadar mengikut ‘trend’ kerana telah memperjudikan nasib perniagaannya dengan hanya menjual Menu Rahmah sebagai menu utama.
Malah, ada juga segelintir menuding jari kepada kerajaan seolah-olah mengatakan Menu Rahmah telah ‘membunuh’ peniaga-peniaga kecil di luar sana.
Bagaimanapun, janganlah kita serkap jarang dahulu. Kerajaan tidaklah pukul rata memaksa mana-mana pengusaha kedai makan dan minum menyediakan Menu Rahmah di premis mereka, tetapi ada segelintir golongan yang memerlukannya untuk mengisi perut.
Apa-apa pun, pujian patut diberikan kepada pemilik restoran berkenan kerana berani menyahut cabaran kerajaan menawarkan Menu Rahmah di restorannya bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40.
Mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam menjalankan perniagaannya menyebabkan Menu Rahmah di restorannya tidak laku keras seperti di premis makanan yang lain.
Dalam hal sebegini, janganlah hanya menunggang nama Rahmah sahaja dan menyalahkan usaha kerajaan itu secara membuta tuli jika mengalami kerugian.
Pesaing perniagaan sangatlah ramai, oleh itu peniaga haruslah lebih kreatif dan unik dalam merancang strategi pemasaran perniagaan terutama pada peringkat awal agar perniagaan dilihat lebih menonjol berbanding pesaing lain.
Dalam kes sebegini, pemilik restoran dikatakan tidak cukup mempromosikan restorannya kepada khalayak umum. Bahasa mudahnya adalah restoran ini tidak cukup viral.
Besar kemungkinan juga penduduk di kawasan itu tidak tahu menahu akan kewujudan restoran ini yang turut menawarkan Menu Rahmah kepada golongan kurang berkemampuan.
Bukan itu sahaja, kunjungan restoran boleh menjadi ‘sendu’ apabila kuasa beli penduduk di lokasi restoran semakin kuat.
Majoriti kawasan berkenaan didiami oleh golongan ‘berduit’. Oleh sebab itu, Menu Rahmah bukanlah makanan yang dapat menepati selera tekak mereka.
Risiko dalam menawarkan menu berharga bawah RM5 ini sebagai menu ‘tunggal’ dalam perniagaan tidak masuk dek akal.
Hal ini kerana kebanyakan kedai yang menjual Menu Rahmah juga meneruskan jualan makanan lain seperti biasa dengan kadar harga biasa.
Mungkin untung diperoleh daripada penjualan Menu Rahmah sedikit, tetapi keuntungan masih boleh dikaut melalui penjualan daripada kepelbagaian menu makanan lain.
Seperti yang diperkatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhaizan Kaiat, usaha itu untuk membantu golongan B40 dan tiada paksaan ke atas peniaga-peniaga di premis makanan untuk mewajibkan Menu Rahmah sebagai sajian di restoran mereka.
“Ada yang sebut kepada kita macam mana mereka nak untung kalau harganya terlalu kecil. Sebenarnya ini satu pilihan khusus untuk mereka yang memerlukan. Tapi di sana ada lagi menu-menu yang lain yang boleh menarik perhatian kumpulan-kumpulan yang lain,” katanya.
Menu Rahmah juga bukanlah jalan pintas kepada sesuatu perniagaan untuk mengaut keuntungan. Adakah menggunakan nama Rahmah dalam sesuatu menu dapat menjamin keuntungan luar biasa berbanding menu lain? Sama sekali tidak.
Dalam sesebuah perniagaan, untung dan rugi banyak bergantung kepada banyak faktor. Dalam perniagaan makanan, keenakan hidangan juga memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan dan bukannya hanya bergantung ada faktor harga semata-mata.
Yang penting, Menu Rahmah hanya berbeza pada harga dan bukanlah kualiti. Walaupun hanya RM5, tetapi Menu Rahmah adalah jawapan untuk makanan yang murah dan bermaruah.
* Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi ialah Penolong Penerbit Kandungan Digital Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!