Misi julang maruah negara

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) bersama atlet pada Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 pada Isnin. - Foto Bernama
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) bersama atlet pada Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN negara bakal tampil dengan misi serampang dua mata apabila menyingkap cabaran pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, misi pertama memperbaiki pencapaian pingat dan kedudukan keseluruhan berbanding edisi Hanoi tahun lalu.

Katanya, dia percaya kontinjen negara tidak akan berhadapan masalah untuk merealisasikan misi tersebut memandangkan atlet-atlet yang menggalas cabaran dalam keadaan bersedia dan tahap lebih baik berbanding edisi Hanoi.

“Sukan SEA Kemboja 2023 merupakan kesinambungan Sukan SEA Hanoi tahun lalu. Dari segi persiapan, atlet-atlet sepatutnya telah bersedia memberi persembahan lebih baik.

“Dan berdasarkan pergerakan serta latihan atlet berjalan seperti biasa, maka saya dan rakan-rakan percaya kontinjen kali ini mampu meraih pencapaian lebih baik bukan sahaja daripada jumlah pingat, malah dari segi kedudukan keseluruhan.

“Itu memang harapan saya dan timbalan saya yang akan bekerja keras. Bagi tujuan itu, kita bukan sahaja ingin berkomunikasi dan pantau atlet yang dipilih ke Kemboja tetapi juga berinteraksi lebih dekat dengan pengurus serta jurulatih.

“Insya-ALLAH, kami juga yakin kontinjen negara akan mencapai misi dengan sokongan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara,” katanya selepas penyerahan watikah pemilihan kepada wakil atlet dan pegawai kontinjen negara di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya pada Isnin.

Edisi Singapura 2015 merupakan pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di luar negara apabila membawa pulang 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa, sekali gus mengakhiri cabaran di kedudukan keempat keseluruhan.

Bagi edisi Hanoi tahun lalu, menyaksikan kontinjen Malaysia meraih kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Malaysia akan menghantar 677 atlet (403 lelaki, 274 wanita) dan 237 pegawai ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh kali ini.

Temasya kali ini bakal menjadi penyertaan ketiga terbesar kontinjen Malaysia di luar negara dari segi saiz atlet selepas edisi 2007 Korat, Thailand yang disertai oleh 820 atlet dan edisi 2019 Filipina disertai seramai 772 atlet.

Saiz kontinjen terbesar Malaysia dalam sejarah Sukan SEA adalah pada edisi 2017 Kuala Lumpur yang diwakili oleh 845 atlet dan 294 pegawai, manakala edisi lepas di Hanoi menyaksikan 584 atlet serta 272 pegawai mewakili negara.

Sementara itu, Mohd Nasir mengakui kontinjen negara juga berdepan beberapa kekangan selepas beberapa sukan yang diletakkan prospek emas digugurkan pada temasya kali ini.

“Kita juga kehilangan beberapa pingat apabila acara yang berpotensi dalam sukan seperti bina badan, terjun, muay thai dan gimnastik sama ada tidak dipertandingkan atau dikurangkan acara kali ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!