Operator kilang didenda RM15,000
PORT DICKSON – Seorang operator kilang didenda RM15,000 oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini atas empat pertuduhan menyembunyikan wang penipuan sindiket Love Scam dalam akaun bank miliknya pada tahun lalu.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak menjatuhi hukuman itu, selepas Kasumawati Mohamad Amin, 45, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa menyembunyikan RM12,800 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun lain, di mesin pengeluaran wang (ATM) di Agro Bank, Pasir Panjang, di sini.
Wang masing-masing RM2,500, RM5,000, RM300 dan RM5,000 dimasukkan antara 2.59 petang pada 23 Oktober hingga 5.52 petang pada 5 November tahun lalu.
Dia kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda sebanyak RM15,000 dan kini berada di Penjara Sungai Udang Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!