Tawar 24 menu Barat, tempatan dengan harga RM2.50
TEMERLOH - Jika Menu Rahmah dijual dengan harga RM5 sepinggan, namun seorang peniaga di Mentakab di sini menawarkan menu Barat dan tempatan dengan harga RM2.50 setiap satu hidangan sejak September tahun lalu.
Pengusaha Restoran Nasi Lemak Ayam Dinosour, Najihah Najib, 23, mengambil inisiatif tersebut untuk membantu golongan B40 untuk menikmati menu pilihan dengan harga murah.
Restorannya menawarkan 24 makanan terdiri menu Barat dan tempatan seperti chicken chop, spaghetti carbonara dan bolognese, nasi putih ayam buttermilk, laksa, mi goreng basah,bebola daging dan sandwich.
Pemegang Diploma Kulinari itu berkata, meskipun harga menunya terlalu murah, namun dia cukup menitikberatkan kualiti makanan yang disediakan.
“Saya bukan jual ala kadar. Perapan kuah dan sos semua dibuat sendiri selain resipi ibu, Hazimah Harun, 56. Kuantiti yang disediakan setiap juadah boleh buat orang kenyang walaupun dalam mangkuk sedikit kecil berbanding kebiasaan.
"Idea untuk menyediakan harga murah seperti ini mula timbul selepas tersentuh melihat keluarga berpendapatan rendah datang bersama anak-anak untuk menikmati makanan Barat yang selama ini mereka idamkan.
"Saya faham, bukan semua orang mampu. Jadi, bila datang ke premis saya, mereka dapat menikmati menu yang diinginkan seperti chicken chop dengan harga murah," kata anak bongsu daripada dua beradik itu lagi.
Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu memberitahu, setakat ini sambutan positif diterima daripada pelanggan.
"Ada pelanggan seolah-olah tidak percaya dengan harga yang kita tawarkan dan terkejut apabila kuantiti yang disediakan tetap mengenyangkan mereka," tambahnya.
Ditanya kos barangan yang semakin meningkat, Najihah berkata, dia akan berusaha mengekalkan harga itu walaupun peniaga kecil sepertinya tertekan dengan kenaikan tersebut.
"Selain itu memang ada yang tanya ada untung ke dengan harga begini tapi saya percaya dengan rezeki masing-masing," jelasnya.
Selain menu RM2.50, restoran itu juga menawarkan juadah popular seperti nasi lemak ayam dengan harga lain dan ia juga antara menu terkenal dan laris di kalangan pelanggan.
Restoran yang terletak di Taman Rimba di sini tersebut dibuka setiap hari kecuali Khamis bermula jam 5 petang hingga 10 malam.
Sementara itu bagi seorang penjawat awam, Suraya Abu Samah,41 memuji usaha tersebut dan setakat ini dia berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti yang ditawarkan.
"Sudah beberapa kali datang, anak pun suka dan ia banyak membantu orang ramai dalam keadaan sekarang," jelas Suraya.
Bagi seorang pelajar, Muhammad Ashraf Kamarulzaman, 18, mengakui pada mulanya tidak percaya dengan harga tersebut.
"Sekarang selepas diberitahu rakan-rakan, saya gembira kerana ada harga murah dan tidak membebankan pelajar seperti saya," jelas remaja tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!