City bergaya mara ke suku akhir
ERLING Haaland tampil cemerlang meledak lima gol untuk membawa Manchester City mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara.
Pemain antarabangsa Norway itu membantu City untuk menang 7-0 ke atas RB Leipzig di Stadium Etihad pada Rabu dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir.
Haaland juga memecahkan rekod kelab dengan 39 gol dalam semua kejohanan dalam semusim untuk mara ke suku akhir bagi enam musim berturut-turut dengan kemenangan agregat 8-1.
"Semuanya agak kabur dalam kepala saya. Saya tidak ingat gol. Saya hanya ingat melepaskan rembatan dan (tidak) berfikir. Saya sangat letih selepas meraikan jaringan.
"Banyak gol yang terhasil dan saya tidak sangka. Tugas saya hanya menjaringkan gol. Begitu juga dengan gol kedua, ketiga dan setiap gol," kata Haaland.
Haaland digantikan pada minit ke-63 apabila Pep Guardiola memilih untuk merehatkannya menjelang aksi suku akhir Piala FA menentang Burnley pada Ahad ini.
Pemain berusia 22 tahun itu mengakui dia mahu kekal dalam perlawanan dan memburu gol keenam.
"Saya memberitahunya (Guardiola) apabila keluar saya ingin menjaringkan hatrik berganda. Tetapi, apa yang boleh saya lakukan?," katanya.
Kemenangan City menyamai prestasi terbaik mereka sebelum ini dalam Liga Juara-Juara semasa kemenangan 7-0 ke atas Schalke pada 2019 selain peluang merangkul trofi yang belum pernah mereka menangi.
"Untuk memberi kenyataan bahawa kami boleh menjaringkan tujuh gol dalam pertandingan ini, ia adalah perasaan yang menakjubkan. Kelab ini mahu memenangi Liga Juara-Juara.
"Mereka telah memenangi Liga Perdana Inggeris empat kali dalam tempoh lima tahun lepas. Mereka tidak membawa saya memenangi Liga Perdana, mereka tahu bagaimana untuk melakukannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!