Ringgit terus cenderung meningkat berbanding dolar AS

Ringgit meningkat kepada 4.4795/4835 berbanding dolar AS daripada 4.4820/4860 ketika ditutup pada Selasa. (Gambar hiasan)
Ringgit meningkat kepada 4.4795/4835 berbanding dolar AS daripada 4.4820/4860 ketika ditutup pada Selasa. (Gambar hiasan)
A
A
A

RINGGIT meneruskan kecenderungan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Rabu, disokong jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih kecil di AS apabila data inflasi terkini negara itu menunjukkan aliran penurunan.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4795/4835 berbanding dolar AS daripada 4.4820/4860 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Februari tepat seperti yang dijangkakan iaitu pada 6.0 peratus, di bawah bacaan Januari pada 6.4 peratus.

"Ini menunjukkan inflasi di AS semakin lemah buat masa ini, justeru Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mengambil tindakan yang lebih sederhana berhubung keputusan kadar faedah seterusnya pada 22 Mac,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat data inflasi terbaru itu menyebabkan Fed berada dalam keadaan kusut.

"Dari satu aspek, kebimbangan mereka terhadap inflasi yang kekal tinggi akan bermakna mereka perlu melakukan lebih banyak lagi dalam menaikkan Kadar Dana Fed.

"Dari spektrum yang lain, kebimbangan yang memuncak mengenai bank-bank AS seperti Silicon Valley Bank dan Signature Bank menjadi peringatan bahawa dasar monetari yang terlalu ketat boleh membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, justeru, ringgit mungkin mengalami beberapa bentuk pembetulan hari ini selepas mencatatkan peningkatan semula yang kukuh sejak dua hari lepas.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.4444/4492 daripada 5.4474/4523 ketika ditutup Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3320/3352 daripada 3.3383/3415.

Unit tempatan bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.8078/8121 daripada 4.8007/8050 semalam.

Pada masa yang sama, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9728/12.9896 daripada 12.9830/9999 semalam dan naik berbanding rupia Indonesia kepada 291.10/291.50 daripada 291.20/291.70.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3285/3317 daripada 3.3254/3286 pada Selasa dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.13/8.14. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!