Pemohon bantuan STR diminta kemas kini maklumat peribadi
KOTA BHARU - Pemohon bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diminta mengemas kini maklumat peribadi bagi melancarkan proses pembayaran fasa kedua yang akan dikreditkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, golongan B40 itu boleh berbuat demikian sehingga penghujung bulan ini.
“Minta (pemohon) kemas kini data kerana yang sedia ada sudah tiga tahun tidak ada perubahan. Misalnya, dulu bujang, sekarang dah kahwin. Bagi bujang yang berpendapatan RM2,500 ke bawah layak mendapat bantuan RM350.
“Kalau mereka sudah kahwin, maka ada beberapa kategori seperti isi rumah pendapatan RM2,500 dan ke bawah serta tak ada anak, akan dapat RM1,000. Jika anak satu atau dua orang dapat RM1,500 dan banyak lagi kategori,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengarah LHDN Kelantan, Wan Roslan Wan Ismail.
Penerima boleh menghubungi pejabat LHDN yang terdekat di kawasan masing-masing atau pun boleh mengemas kini permohonan secara dalam talian melalui Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my dan menghubungi talian 1800-88-27479.
Ahmad memaklumkan, bantuan tunai STR tahun ini berjumlah RM8 bilion yang terbesar untuk diberikan kepada sembilan juta rakyat.
“Fasa pertama selesai diproses secara berperingkat pada 17 Januari lalu melibatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM1.67 billion.
“STR akan dibayar melalui empat fasa dan dijangkakan seterusnya iaitu fasa ketiga pada Julai serta fasa keempat pada November,” ujar beliau.
Tambahnya, bagi Kelantan sebanyak 806,024 permohonan diterima secara manual dan dalam talian.
“Setakat ini, yang diluluskan berjumlah 587,160 dengan keseluruhan wang bayaran terlibat lebih RM519 juta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!