Klinik Kesihatan Bandar Kuantan lanjut waktu operasi sejak 2010
KUANTAN - Lanjutan waktu perkhidmatan di Klinik Kesihatan Bandar Kuantan (KKBK) di sini yang dilaksanakan sejak 2010 masih diteruskan sehingga kini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, KKBK merupakan klinik kesihatan pertama di negeri ini yang menawarkan lanjutan waktu perkhidmatan dari jam 5 petang hingga 9 malam pada Isnin hingga Jumaat.
Menurutnya, klinik tersebut juga dibuka pada Sabtu dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Purata kedatangan harian antara jam 5 petang hingga 9 malam (Isnin hingga Jumaat) kira-kira 15 hingga 46 pesakit setiap hari.
"Pada hari Sabtu bilangan pesakit yang datang menerima rawatan di klinik kesihatan itu antara 50 hingga 80 orang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dr Nor Azimi berkata, lanjutan waktu perkhidmatan mula diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun 2008 sebagai salah satu strategi mendepani isu kesesakan pesakit di hospital.
KKBK turut tersenarai antara 52 klinik kesihatan yang akan melaksanakan pemanjangan waktu operasi selepas waktu pejabat seperti diumumkan KKM baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!