Kadar zakat fitrah Selangor ikut jenis beras dimakan
SHAH ALAM – Kadar zakat fitrah di Selangor pada tahun ini mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan berkata, kaedah tersebut dilaksanakan sejak 2018 lagi.
Menurut kenyataan itu, zakat fitrah RM7 merupakan kadar minima bagi umat Islam yang menggunakan beras jenis ‘super special' tempatan sebagai makanan harian.
"Sementara kadar RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi.
"Manakala bagi kadar RM21 pula untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Ujar kenyataan itu, LZS memperkenalkan tiga jenis kupon fitrah berwarna mengikut nilai iaitu RM7 (hijau), RM14 (merah) dan RM21 (hijau).
Kata kenyataan itu, LZS melantik seramai 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
"Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan disahkan oleh LZS.
"Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 92 maahad tahfiz serta sekolah agama swasta di Selangor," katanya.
Selain itu, umat Islam boleh membayar zakat menggunakan platform pembayaran secara dalam talian termasuk EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan internet, MyEg, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.
LZS akan membuka 18 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan.
Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!