Bomba terbangkan bayi Orang Asli ke Hospital Gua Musang
GUA MUSANG - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang bayi perempuan Orang Asli yang mengalami demam dan bernafas laju dari Pos Simpor ke Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata, Masariani Rosli, berusia lapan bulan yang dalam keadaan lemah dan pucat dipangku ibunya, Hamisa Ohsin, 23, menaiki pesawat jenis Agusta Westland 139.
"Pesawat berlepas dari Kerteh, Terengganu kerana menjalani latihan pada pagi semalam dan berlepas ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 2.15 petang setelah mendapat arahan memindahkan bayi terbabit yang dilaporkan sakit sejak dua hari lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pesawat terlebih dahulu tiba di BBP Gua Musang pada 3.11 petang bagi mengambil seorang kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum meneruskan penerbangan ke Pos Simpor.
"Pesawat tiba di Pos Simpor pada 3.20 petang dan kembali ke BBP Gua Musang pada 3.48 petang bersama pesakit dan seterusnya dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menggunakan ambulans KKM yang sudah menanti di BBP Gua Musang," katanya.
Menurut Muhammad Akmaluddin, operasi melibatkan empat kru dengan diketuai Timbalan Penguasa Bomba II, Sharizal Sahari berlepas pulang ke Pangkalan Udara Wilayah Utara pada 3.49 petang.
"Operasi memakan masa selama dua jam 42 minit dan tamat sepenuhnya pada 4.44 petang setibanya di Pulau Pinang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!