Ibu redah banjir demi keselamatan enam anak
CHUKAI - Seorang ibu beranak enam terpaksa memandu sendiri meredah banjir di paras 0.5 meter serta kegelapan malam untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Darul Iman Training Centre (DITC) di sini selepas kediamannya di Rancangan Perumahan Mampu Milik, Telok Kalong ditenggelami air sejak pukul 11 malam tadi.
Jusnata Aina Mohd, 37, seorang suri rumah berkata beliau terpaksa memberanikan diri dan menyelamatkan anak-anaknya yang berumur empat bulan hingga 17 tahun ke DITC ekoran suaminya berada di luar kawasan atas tuntutan kerja.
Sejurus mendengar pengumuman dari pihak pengurusan taman perumahan supaya beredar segera ke DITC, saya dan anak-anak bergegas berkemas dan membawa keperluan serba sedikit sebagai bekalan di DITC, syukurlah, pernah mengalami situasi serupa tahun lepas, jadi saya dan anak-anak tidak panik meskipun suami tidak ada di rumah," katanya ketika ditemui di pusat itu di sini hari ini.
Katanya, beliau dan anak-anak sememangnya telah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir tahun ini, termasuk memindahkan pelbagai barangan berharga seperti perabot dan dokumen-dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi.
"Pada tahun lepas, ketika rumah dinaiki air, kami kerugian beribu ringgit kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana tidak menyangka rumah akan dinaiki air...jadi tahun ini meskipun belum betul-betul banjir besar, saya sudah pesan siap-siap pada anak-anak supaya bersiap sedia lebih awal bagi mengelak kejadian serupa berulang," katanya.
Setakat pukul 2 petang ini 251 mangsa daripada 60 keluarga terjejas banjir di daerah Kemaman manakala seramai 213 orang darinya ditempatkan di DITC sejak PPS itu dibuka pukul 12 tengah hari tadi.
Sementara itu Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Nurul Huda Hayati Hashim, berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan psikoterapi bagi memberi keselesaan dari segi emosi kepada mangsa banjir khususnya golongan kanak-kanak seperti aktiviti mewarna, permainan menguji minda dan pelbagai jenis 'board games'.
Katanya, situasi yang tidak terkawal dan tidak selesa di pusat pemindahan akan menyebabkan emosi kanak-kanak mudah terganggu dan menyebabkan kemurungan akibat trauma terutama bagi mereka yang belum pernah mengalami situasi berkenaan.
"Kita tidak mahu sebelum ini kita lihat seringkali di pusat-pusat pemindahan anak-anak ini duduk di merata tempat tanpa diisi sebarang aktiviti...ini juga sekali gus boleh merunsingkan ibu bapa yang kadang-kadang menghadapi krisis ketika di tempat perpindahan.
Dengan kehadiran kita di sini juga selain menceriakan kanak-kanak di sini kita turut membantu meringankan beban emosi ibu bapa mereka sehingga keadaan kembali normal dan mereka boleh pulang ke rumah masing-masing,"katanya.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!