Pemain Leipzig terkedu 'diratah' City

Henrichs (kanan) mengawal pergerakan pemain City dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto AFP
Henrichs (kanan) mengawal pergerakan pemain City dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN RB Leipzig terkedu ketika menjadi 'lauk' Manchester City yang diterajui oleh Erling Haaland ketika dibelasah 7-0 di laman sendiri untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Pemain pertahanan, Benjamin Henrichs bagai hilang kata-kata ketika pasukannya 'diratah' sedemikian rupa dan ia pertama kali berlaku dalam kariernya.

"Kami teruk 'dibaham' di sini. Saya tidak pernah kalah sebanyak ini sepanjang karier," katanya.

Haaland beraksi cemerlang apabila meledak lima gol, termasuk hatrik pada babak pertama ketika City membelasah lawan dari Jerman itu seterusnya layak dengan agregat 8-1.

Henrichs tidak dapat menjelaskan bagaimana pasukannya teruk dibelasah dalam perlawanan itu selepas terikat 1-1 pada aksi pertama.

Tambahnya, Haaland yang berhijrah dari kelab Bundesliga, Borussia Dortmund ke City musim lalu menguasai Leipzig dengan kelebihan fizikalnya.

"Dia mempunyai kekuatan fizikal. Sukar disekat dan memberikan kesukaran dalam perlawanan.

"Cara dia bermain menunjukkan kualiti sebenarnya," ujar Henrichs.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!