Naib Ketua Pemuda UMNO nafi terlibat promosi skim pelaburan
JOHOR BAHRU - Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah kesal apabila ada pihak menyalahgunakan gambarnya bagi mempromosikan skim pelaburan di media sosial.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu juga menafikan terlibat dalam skim 'Pelaburan Patuh Syariah' tersebut dan sudah membuat laporan polis.
"Baru-baru ini, saya mendapat banyak mesej dan pertanyaan melalui media sosial dan aplikasi pesanan menghantar iklan berbayar yang menggunakan poster gambar saya bertajuk 'Pelaburan Patuh Syariah'.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya pernah atau sedang menjalankan program seperti ini menerusi Pejabat Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, mahupun menerusi Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Larkin," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
ADUN Larkin itu berkata, selain menggunakan gambarnya tanpa kebenaran, pihak berkenaan juga menggunakan logo Jata Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Diharapkan dengan penjelasan ini, orang ramai tidak terpedaya dan terjebak dengan penipuan atau 'scam' yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!