Mesin layan diri IPR akan diperluas di universiti, hospital
SEREMBAN - Mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diperluaskan di lokasi tumpuan pengunjung seperti di universiti dan hospital.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pemilihan lokasi perlu mengambil kira kesesuaian harga makanan ditetapkan di situ sekali gus dapat memberi kesan besar kepada orang ramai sekitarnya.
"Pada 22 Mac nanti, kita akan lancarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, selepas pelajar pulang ke kampus.
"Kita akan pergi dari satu tempat ke satu tempat, kerana permintaan itu memang terus masuk dari tempat-tempat yang menawarkan untuk beri ruang mesin layan diri ini seperti hospital dan syarikat swasta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tapak Mesin Layan Diri IPR di Stesen Bas Terminal 1, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, pihaknya juga sedang memuktamadkan lokasi yang dirasakan bersesuaian untuk menempatkan mesin tersebut di seluruh negara.
Selain itu katanya, pihaknya menyasarkan mesin tersebut diperluas kepada 5,000 penerima di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun ini.
"Dari segi permohonan itu jauh lebih tinggi. Saya ingat menjelang akhir tahun ini permohonan boleh mencecah puluhan ribu.
"Tapi kita kena ukur kapasiti industri yang dapat sediakan mesin ini kerana operator mesin ini perlu keluarkan modal sendiri antara RM20,000 ke RM30,000. Kerajaan tak beli mesin ini, tapi hanya bayar sewa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!