96 penagih terima rawatan di Perkampungan Darul Barakah
KUALA TERENGGANU - Perkampungan Darul Barakah yang ditubuhkan kerajaan negeri pada Jun 2021 di Pengkalan Berangan, Marang sudah menerima seramai 96 penagih dadah yang mahu mendapatkan rawatan setakat ini.
Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebahagian besar penghuni pusat pemulihan dadah holistik itu menunjukkan perubahan positif selepas menerima rawatan berasaskan Islam, akhlak dan kemahiran hidup.
Menurutnya, Perkampungan Darul Barakah merupakan antara manifesto Pas Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam usaha membantu penagih kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.
"Setakat ini, kita dapat lihat impak positif keberkesanannya dalam membantu menyelesaikan masalah ketagihan hasil usaha bersama pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Pembukaan pusat pemulihan ini juga sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah ahli keluarga terlibat dengan dadah.
"Selain itu, ia juga memberi kesedaran kepada rakyat bahawa masalah penyalahgunaan dadah dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak," katanya ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Hassan (Pas-Sura) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Mohd Nor berkata, pusat pemulihan itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat manakala konsep pemulihan pelatih adalah secara berterusan mengikut modul ditetapkan.
Katanya, semua penagih dadah yang sedang menerima rawatan di pusat pemulihan itu tidak digalakkan pulang ke kampung kerana bimbang kembali terjebak dalam masalah penagihan.
"Ini kerana pernah berlaku pelatih kembali terjebak dengan penagihan walaupun hanya pulang sebentar pada hari raya Aidilfitri. Oleh itu, hanya keluarga sahaja yang dibenarkan menziarah mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!