Calon PRN diteliti selepas selesai pemilihan UMNO
KOTA BHARU - UMNO akan meneliti calon yang akan diketengahkan kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas pemilihan parti selesai sepenuhnya pada Sabtu ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penelitian itu merangkumi tokoh yang menang dalam perebutan jawatan Pemuda, Puteri dan Wanita selain Ketua Bahagian.
"Ini adalah satu penilaian yang kita buat berdasarkan kepada keboleh menang calon pada PRN itu nanti.
"Kita gariskan tiga perkara iaitu boleh menang, disukai dan diterima semua peringkat," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Kelantan, pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kepimpinan baharu nanti diharap dapat mengukuhkan lagi kekuatan UMNO di sini.
"Saya mempunyai slogan UMNO Bangkit 2.0 menjadi teras kepada perkara tersebut dan menggariskan lima hala tuju baharu parti dan di dalamnya terdapat 21 langkah yang disusun.
"Saya mahu memberikan kuasa kepada Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menterjemahkan pelaksanaan 21 langkah itu," katanya.
Ahmad Zahid memberitahu, indeks penilaian prestasi (KPI) bukan hanya diukur dari segi jumlah tepukan orang yang hadir tetapi berdasarkan kepada keberhasilan tokoh.
Tambahnya, ukuran tersebut bukan berdasarkan persepsi tetapi mesti dilakukan secara betul. S
"Sebagai orang politik kita lihat bahawa keboleh terimaan khalayak atau akar umbi kepada seseorang itu penting.
"Bukan hanya yang pandai menimbulkan dan menjawab isu sahaja, tetapi mesti bersama kepimpinan melakukan perubahan dan memperkasakan parti bagi menggamit semula orang Melayu khususnya pada UMNO," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!