Warga emas tersepit, van langgar belakang treler

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam kemalangan kemalangan di Jalan Bukit Angkat di Kajang pada Rabu.
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam kemalangan kemalangan di Jalan Bukit Angkat di Kajang pada Rabu.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit akibat tersepit setelah van dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Bukit Angkat di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 12.15 tengah hari.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 12.59 tengah hari.

"Kemalangan melibatkan sebuah van dengan sebuah treler yang mana van dipandu seorang lelaki berumur 68 tahun dipercayai melanggar belakang treler tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kemudiannya berjaya dikeluarkan anggota bomba di lokasi kejadian.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kaki kanan mengambil masa kira-kira 10 minit.

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan itu kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!