'Kalau tak pasti, jangan cakap' - Salahuddin Ayub
SUBANG JAYA - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub membidas Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang mendakwa Himpunan Hari Wanita di ibu negara Ahad lalu sebagai himpunan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual dan Pelik (LGBTQ).
Salahuddin menegaskan, sepatutnya sebagai ahli Parlimen, Wan Razali perlu menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan terutamanya di sidang Parlimen.
"Kalau tak pasti, jangan cakap. Ini (Dewan Rakyat) bukan kedai kopi tepi jalan. Ini Parlimen. Jadi kamu (wakil rakyat) perlu bertanggungjawab dengan apa yang kamu cakap.
"Kepada semua ahli Parlimen, pastikan fakta yang anda cakap tepat. Itu etika kita. Kalau kamu tak pasti, kamu jangan cakap nanti kamu akan mendapat malu.
"Jadi nasihat saya kepada ahli Parlimen, tak kira kerajaan atau pembangkang, semak dulu fakta anda, pastikan tepat. Jangan tuduh-tuduh, jangan dengan mudah lemparkan dakwaan dan tuduhan. Perlu berhati-hati dengan fakta kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya Mydin di bawah Payung Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin USJ di sini pada Rabu.
Dakwaan yang dibuat Wan Razali dalam Dewan Rakyat pada Selasa mengundang kekecohan selepas mendakwa himpunan tersebut adalah himpunan LGBTQ.
Namun setelah menerima kecaman ahli Parlimen lain, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendesak beliau menarik balik kenyataan berkenaan selepas Wan Razali tidak pasti dengan faktanya.
Polis ketika ini juga sedang menyiasat perhimpunan dan perarakan sempena Hari Wanita berkenaan.
Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu memberitahu, Wan Razali tidak sepatutnya membuat dakwaan itu kerana beliau tidak pasti akan perkara tersebut.
"Apa yang berlaku semalam (Selasa) sudah nampak jelas sebab bila Speaker tanya beliau, beliau pun jawab tidak pasti. Kalau begitu, jangan cakaplah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!