Artis Malaysia disaran dapatkan khidmat pengawal peribadi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Artis Malaysia disarankan untuk mendapatkan khidmat pengawal peribadi bagi memastikan keselamatan mereka terjaga terutama ketika berada dalam acara melibatkan orang ramai.
Ketua Media dan Publisiti Persatuan Pengawal Peribadi (BGM), Hazim Mohamad berkata, ia kerana sebarang ancaman yang berlaku kebiasaannya tidak terduga.
“Kadang-kadang tidak mustahil mereka (artis) ini berdepan dengan peminat yang taksub sehingga memberikan mudarat terhadapnya.
“Jadi, adalah wajar bagi anak seni ini untuk mendapatkan khidmat pengawal peribadi walaupun untuk sementara sahaja kerana mereka ini sememangnya berpengalaman dalam memastikan aspek keterjagaan individu yang dilindungi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Hazim menambah, terdapat dua jenis langganan perkhidmatan tersebut yang boleh dibuat sekiranya berminat iaitu secara sambilan atau sepenuh masa.
“Kalau sambilan kebiasaannya berharga sekitar RM450 bagi lapan jam satu hari.
“Kalau sepenuh masa kena tengok, kalau langgan pengawal peribadi bebas atau ‘freelancer’ adalah sekitar RM2,500 ke RM4,000 sebulan kalau langgan di bawah syarikat adalah sekitar RM7,000 begitu untuk sebulan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada para artis di luar sana yang ingin membuat langganan supaya berhati-hati dalam memilih khidmat tersebut.
“Perkara asas yang semua kena tahu, khidmat langganan pengawal peribadi yang menggunakan senjata api hanya boleh dibuat menerusi syarikat sekuriti sahaja.“Jika tidak, itu hanyalah auta dan ia adalah salah di sisi undang-undang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!