APM mahu sertai pasukan SMART
![Aminurrahim (tengah) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Ketua Biro Sinar Harian, Saifullah Ahmad ketika Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/03/15/2127699.jpg)
IPOH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berhasrat menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kini hanya dianggotai Tentera Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, cadangan itu telah diangkat sebelum ini kerana APM mempunyai kepakaran dan kelengkapan menyelamat seperti mana pasukan lain.
Menurutnya, ditambah pula APM turut bersama-sama pasukan SMART untuk terlibat dalam mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye baru-baru ini.
"Saya sudah bercakap dengan Menteri Tugas-Tugas Khas untuk menyemak semula permohonan kami, bagaimanapun kami faham bahawa pasukan khas itu tertakluk kepada MKN 19 (Arahan Majlis Keselamatan Negara No 19) dan perlu dilihat semula untuk menambah anggota atau memberikan kepelbagaian dalam SMART.
"Kami tidak terlalu meletakkan sasaran mesti masuk (pasukan SMART) tetapi sudah ada komitmen walaupun kami di luar, pengiktirafan itu telah dibuktikan menerusi penglibatan kita ke Turkiye," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.
Jelasnya Aminurrahim, walaupun tidak berada di dalam SMART tetapi pasukannya dipelawa dan dibawa bersama ketika misi diketuai pasukan SMART itu.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pihak APM akan mempergiatkan program Kampung Siaga 221 di seluruh negara pada tahun ini.
Jelasya, APM menyasarkan sekurang-kurangnya satu negeri satu program Kampung Siaga diadakan melibatkan kawasan-kawasan yang sering berlaku bencana.
"Seterusnya kita akan kembangkan ke kawasan 'hotspot' bencana, kecemasan dan yang boleh menjejaskan harta benda awam. Kita nak latih masyarakat di situ supaya mereka boleh respon tanpa menunggu agensi-agensi barisan hadapan. Kita ajar latihan asas pertahanan awam kepada Kampung Siaga 221.
Aminurrahim berkata, pihaknya akan membuat penilaian kepada setiap Kampung Siaga terlibat untuk diberikan pengiktirafan sekali gus menjadi contoh kepada kampung-kampung lain.
Sementara itu, pada majlis perhimpunan berkenaan, APM Perak turut memberikan penghargaan kepada wakil media termasuk Sinar Harian yang menerima Sijil Penghargaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!