Dua wanita jadi mangsa pelaburan, pinjaman wang tidak wujud

Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUANTAN - Dua wanita tampil membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan tawaran pinjaman wang tidak wujud membabitkan nilai kerugian keseluruhan lebih RM117,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama melibatkan pembantu perawatan kesihatan sebuah hospital berusia 42 tahun mengalami kerugian RM79,950 selepas menjadi mangsa tawaran skim pelaburan tidak wujud.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan tawaran skim pelaburan mata wang Bitcoin yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook atas nama syarikat milik perunding kewangan terkenal yang dilayari pada 14 Februari lalu.

"Mangsa telah menyertai skim ini melalui pakej berharga RM4,500 dengan pulangan keuntungan dijanjikan RM15,000

"Sebelum wang keuntungan dibayar mangsa diarahkan agar membuat bayaran pelepasan cukai dan pertukaran mata wang," katanya.

Ramli berkata, teruja dengan pulangan lumayan menanti, mangsa menggunakan wang simpanannya dan suami sebanyak RM79,950 untuk membuat pembayaran melalui lapan akaun bank berbeza.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa menyedari telah ditipu apabila gagal menerima wang keuntungan dijanjikan malah wang bayaran yang dijelaskan turut lesap," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Ramli berkata, seorang suri rumah berusia 31 tahun mendakwa menjadi mangsa tawaran pinjaman wang tidak wujud dalam talian membabitkan kerugian RM37,800.

Tambahnya, mangsa telah berurusan dengan suspek bagi urusan pinjaman wang RM100,000 dan diminta menjelaskan wang proses untuk kelulusan.

"Mangsa berjaya diperdayakan apabila membuat bayaran diminta.

"Mangsa menyedari ditipu apabila bukan hanya gagal menerima wang yang dipinjam malah terpaksa menanggung kerugian," jelasnya.

Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan tawaran lumayan sindiket pelaburan dan pinjaman wang meragukan bagi mengelak ditipu.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan dan transaksi pembayaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!