Konflik AS, Rusia kembali memuncak

Rusia menafikan ia bertanggungjawab menyebabkan dron MQ-9 itu terhempas. - Foto: Agensi
Rusia menafikan ia bertanggungjawab menyebabkan dron MQ-9 itu terhempas. - Foto: Agensi
A
A
A

MOSCOW - Konflik Amerika Syarikat (AS) dan Rusia kembali memuncak selepas insiden jet pejuang Su-27 milik Moscow bertembung dengan dron MQ-9 Reaper di ruang udara antarabangsa di Laut Hitam.

Jeneral Tentera Udara AS, James Hecker berkata, pesawat enjin berkembar milik Rusia itu telah melanggar dron pengintip Amerika itu ketika ia sedang melakukan operasi rutin pada Selasa.

"Tindakan tidak profesional dan melulu Moscow memintas MQ-9 telah menyebabkan pelanggaran itu berlaku," ujarnya.

Menurut laporan awal, Su-27 tersebut didakwa membuang bahan api dan terbang di hadapan dron Amerika sebelum merempuhnya hingga menyebabkan MQ-9 terhempas.

Pada Rabu, Duta Rusia ke AS, Anatoly Antonov menggesa Washington supaya menghentikan sebarang aktiviti 'permusuhan' berhampiran sempadan Moscow.

"AS perlu hentikan sebarang spekulasi lanjut di media. Kami menganggap sebarang tindakan menggunakan senjata sebagai bermusuhan secara terbuka," tegasnya menerusi Telegram.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan dua jet pejuang Su-27 dikerahkan ke lokasi tersebut selepas mereka mengesan kehadiran dron berkenaan di kawasan Semenanjung Crimea dan terbang menuju ke sempadan negara itu.

"Transponder MQ-9 tersebut dimatikan dan pesawat kami segera ke sana untuk mengenal pasti objek terbang itu," jelasnya sambil menambah Kremlin tidak bertanggungjawab menyebabkannya jatuh terhempas. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!