Pengusaha bas sekolah mohon pemeriksaan Puspakom setahun sekali
SEREMBAN - Sekretariat Industri Bas Sekolah Malaysia meminta Kementerian Pengangkutan agar mempertimbangkan pemeriksaan bas sekolah di pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) dilaksanakan setahun sekali.
Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, perkara itu pernah disuarakan kepada Menteri Pengangkutan pada tahun 2018, namun ia seakan dilupakan selepas peralihan kerajaan ditambah pula selepas itu negara berdepan pandemik Covid-19.
"Tapi dalam simposium yang dihadiri lebih 40 persatuan pada 12 Mac lalu, hasrat itu disuarakan semula.
"Ini kerana perkhidmatan bas sekolah berbeza dengan perkhidmatan pengangkutan lain yang mana dalam tempoh seminggu, bas sekolah hanya beroperasi lima hari sahaja dan dalam tempoh setahun beroperasi 195 hari kerana selebihnya adalah cuti sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Agong Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali Ke-21 di sini pada Rabu.
Malah katanya, relevannya cadangan itu kerana kawasan operasi bas sekolah adalah dalam radius lima hingga 20 kilometer sahaja.
Beliau turut menyifatkan proses pemeriksaan di Puspakom sangat menyusahkan memandangkan sistem tempahan dalam talian yang sedia ada memerlukan janji temu dan agak merumitkan.
"Nak tunggu giliran pun satu hal kerana perlu beratur panjang dan biasanya mengambil masa berjam-jam.
"Ia ditambah pula pusat pemeriksaan yang ada di setiap negeri tak banyak sekali gus menyusahkan kami," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Rofik berkata, adalah tidak adil jika industri lain seperti teksi diberi keistimewaan hanya perlu membuat pemeriksaan berkala setahun sekali.
Selain itu katanya, pihaknya juga meminta Puspakom dapat membuka laluan khas kepada pengusaha bas sepanjang masa dan bukannya ketika hari persekolahan sahaja.
Sebelum itu majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, J Arul Kumar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!