Budak lelaki dikesan tidak bersekolah selepas ibu bapa sakit
SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki di sebuah kediaman di sini dikesan tidak pernah bersekolah selepas kedua ibu bapanya dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak 12 tahun lalu.
Exco Hal Ehwal Wanita,Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kisah kanak-kanak berusia 12 tahun itu pada minggu lalu.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan tinggal bersama ibunya berusia 43 tahun, neneknya, 63 dan bapa saudaranya berumur 25 tahun.
"Alasan sebenar ibunya tidak menyekolahkan kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan setakat ini kerana berdasarkan maklumat, ibunya mempunyai masalah mental dan sudah lama tidak mendapatkan rawatan.
"Bapanya pula bekas pegawai bank menjadi gelandangan sejak lima tahun lepas selepas dihalau oleh isterinya kerana mendakwa bimbang penyakit kaki gajah yang dialami suaminya itu akan menjangkiti anak tunggal mereka," katanya kepada pemberita ketika menyantuni keluarga kanak-kanak itu di kediamannya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nicole berkata, bertindak atas maklumat berkenaan dan hasil perbincangan dengan keluarga terbabit, hak penjagaan sementara kanak-kanak itu akan diserahkan kepada nenek dan bapa saudaranya.
"Ia bagi membolehkan urusan berkaitan persekolahan kanak-kanak itu dapat dilakukan dengan baik. Justeru, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengemukakan permohonan perintah mahkamah bagi tujuan tersebut secepat mungkin," ujarnya.
Beliau berkata, ibunya akan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada Rabu dan pihaknya akan menjalankan operasi menyelamatkan bapa kanak-kanak terbabit untuk ditempatkan di rumah transit gelandangan Negeri Sembilan, Rumah Minda Ceria (RMC).
"Bapanya dikenali sebagai Augustine berumur 45 tahun, kerap tidur di kaki lima, bangunan tinggal dan tempat lusuh. Dia juga sering dilihat menunggang motosikal.
"Kita mahu dia pulih dan sihat seterusnya menjalani kehidupan normal selain mampu berdikari serta mendapat pekerjaan. Akhirnya dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa," katanya.
Dalam pada itu, Nicole turut menjelaskan Augustine pernah menerima sumbangan bakul makanan daripadanya dan ketika itu, dia memberitahu akan menjalani pembedahan kaki pada Oktober tahun lepas.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Augustine diminta menghubungi Nicole di talian 012-3626977 atau Penyelia RMC, Sarvin 017-5438212.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!