Azizulhasni lupakan aksi di Kaherah akibat kecederaan
JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terpaksa melupakan aksi di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir bulan ini susulan kecederaan.
Prospek emas negara di Sukan Olimpik Paris 2024 berusia 35 tahun itu berkata, keputusan menarik diri terpaksa dibuat atas nasihat doktor dan mengambil kira beberapa faktor lain selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di sana.
Bagaimanapun, pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diberi julukan 'Pocket Rocketman' itu tidak menyatakan kecederaan yang dialaminya.
"Demi memberi ruang mendapatkan pemulihan yang optimum, tempat saya akan digantikan oleh Fadhil Zonis (Muhammad Fadhil Mohd Zonis).
"Saya memohon agar anda semua terus memberikan sokongan kepada atlet lumba basikal yang akan bertanding di sini (Kaherah)," menurut hantaran Facebook miliknya pada Rabu.
Mohd Azizulhasni muncul wakil tunggal skuad kebangsaan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia bulan lepas.
Kejohanan di Kaherah bermula hari ini hingga Jumaat sebelum beralih Milton, Kanada pada 20 hingga 23 April depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!