Menu Rahmah pemacu ekonomi rakyat - Salahuddin

Salahuddin Ayub dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin melancarkan Bazar Ramadan Menu Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin selepas perasmian Kempen Mydin 'Klasiknya Raya' pada Rabu.
Salahuddin Ayub dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin melancarkan Bazar Ramadan Menu Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin selepas perasmian Kempen Mydin 'Klasiknya Raya' pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan di negara ini pada 31 Januari lalu kini telah menjadi pemacu ekonomi kepada rakyat terutama dalam kalangan peniaga kecil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, daripada laporan yang diterima kementeriannya, banyak perniagaan peniaga kecil lebih maju dan berkembang selepas menawarkan Menu Rahmah.

"Ada antara peniaga itu berniaga cuma di bawah pokok tapi sebab makanan (Menu Rahmah) yang dijual sedap dan lazat maka dia jadi popular.

"Dia kemudian telah menambah bilangan jenis masakannya dan Menu Rahmah itu sendiri telah jadi satu enjin ekonomi," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen Klasiknya Raya Mydin di Pasar Raya Besar Mydin di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media pada Isnin bahawa seorang pengusaha makanan terpaksa menghentikan penjualan Menu Rahmah di restorannya selepas tidak dapat lagi menanggung kerugian perniagaan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu menegaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada asasnya tidak memaksa peniaga menjual Menu Ramah atau membuka kedai Menu Rahmah.

"KPDN cuma panggil pemain industri makanan dan mereka dah ada kedai, restoran dan ada nama seperti datang dari persatuan nasi kandar dan persatuan tomyam.

"Jadi selain mereka jual menu premium, mereka juga boleh menyumbang kepada mereka yang memerlukan menerusi Menu Rahmah. Itu konsepnya.

"Bukan kita minta orang kampung ataupun mana-mana peniaga dengan kata 'kamu mesti buka kedai Menu Rahmah, harganya kena RM5'. Itu tak betul," ujarnya.

Bagaimanapun, Salahuddin menjelaskan, beliau telah meminta pegawai kementeriannya pergi berjumpa peniaga terbabit untuk memberikan bantuan yang diperlukan.

Kerajaan menerusi KPDN sebelum ini melancarkan Menu Rahmah di bawah inisiatif Payung Rahmah bagi membantu golongan miskin tegar dan mereka yang kurang berkemampuan yang memerlukan makanan siap dimasak di mana set makanan itu ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah.

Konsep itu mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 1,191 premis makanan seluruh negara telah berdaftar dalam portal Menu Rahmah setakat 8 Mac lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!