Itu ijtihad dia - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan lebih mudarat sekiranya bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH) adalah ijtihad pemimpin itu sendiri.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, perkara itu adalah disebabkan oleh kes-kes pendakwaan kes rasuah dan pecah amanah yang sedang dihadapinya.

"Yang (Ahmad Zahid cakap) itu ijtihad dia, berdasarkan kes yang dihadapi (beliau), bukan untuk kepentingan rakyat Malaysia, saya tahu ucapan pemimpin BN dan UMNO mengenai DAP, saya tahu DAP menyanyi sakan ketika kempen pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-15).

"Saya tidak tergamak hendak ulang, (tetapi) mereka tergamak kata, tetapi akhirnya dia memilih mereka (PH) untuk bersama, terpulang kepada mereka, itu ijtihad dia," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN pada Selasa bahawa gabungan berkenaan berpandangan 'kemudaratan lebih besar' adalah jika bersama dengan PN.

Ujarnya lagi, perkara tersebut turut menjadi persoalan kenapa perlu lagi dibangkitkan selepas BN sudah pun berada di dalam Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan lalu.

"Saya tidak tahu, saya hairan kenapa perlu cakap lagi (isu kemudaratan).

"Mungkin kerana bimbang kerajaan (yang mereka berada bersama) itu terbalik (tumbang), berdasarkan perkembangan dalam parti dia sendiri, (akan berlaku) pemilihan di dalam parti dia,

"(Zahid merasakan) kemungkinan kerajaan itu akan terbalik apabila parti (UMNO) berubah kepimpinan, pemimpin baharu (yang dipilih) akan tarik sokongan seblok daripada BN ini, maka kerajaan (ketika ini) jatuh,

"Proses itu dibenarkan undang-undang, cuma kita harap (pemimpin yang baharu dilantik ini) mereka lakukan perkara itu" katanya secara berseloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!