Selangor larang program umat Islam diadakan di rumah ibadat lain

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah dilarang sama sekali di Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, walaupun menyambut baik program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO), namun ia mesti mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terutamanya melibatkan aspek perundangan.

Jelas Mohd Zawawi lagi, peraturan sudah menetapkan sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain, selain daripada agama Islam adalah dilarang sama sekali.

"JAIS sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

"Kerajaan Selangor sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama yang ada di negeri tercinta ini, justeru setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada JAIS dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, sebuah portal media tempatan melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.

Program NGO bernaung di bawah agensi pembangunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia khususnya bukan Kristian terlibat bersama dengan matlamat memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.

Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata, program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!