Setiap aduan terhadap keputusan pemilihan UMNO akan diteliti

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi pemilihan UMNO 2023-2026. -Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi pemilihan UMNO 2023-2026. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Setiap aduan yang diterima berhubung keputusan pemilihan UMNO akan disiasat dengan teliti bagi memuaskan hati semua pihak.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, tidak lebih 20 aduan telah sampai kepada Jawatankuasa Pemilihan parti itu sejak 11 Mac lepas membabitkan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian di seluruh negara.

"Kita akan melayan setiap aduan dan setiap ketidakpuasan hati dan saya telah diberitahu oleh Pengerusi Lembaga Disiplin serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan bahawa siasatan secara teliti akan dilakukan," katanya selepas Sesi Pengenalan Calon Pemilihan UMNO Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata selain memastikan semua pihak terutama pengadu berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan, siasatan teliti juga bertujuan untuk berlaku adil kepada sistem sedia ada.

"Tidaklah ada masalah besar, adalah masalah melibatkan peraturan yang tidak diikuti, itu akan diselesaikan... Mana-mana bahagian yang terlalu bermasalah besar maka pemilihan semula akan dilakukan.

"Kita belum ketahui lagi (keputusan) di peringkat pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

"Saya harap tiada masalah yang timbul kerana apa juga sistem yang kita lakukan, ibu pejabat akan lakukan yang terbaik dan jika terdapat kekurangan, sistem itu akan diperbaiki untuk pemilihan akan datang," katanya.

Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat bagi sesi 2023-2026 berlangsung pada 11 Mac lepas serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan MT.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak memihak kepada mana-mana calon dan sesiapa sahaja yang menang akan menjadi pasukannya.

"Saya harap perwakilan pilihlah calon-calon Naib Presiden, MT, Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang kita boleh letak harapan kepada mereka... Mudah-mudahan UMNO kembali kuat, perkasa dan harus relevan sebagai parti Melayu Islam yang dominan di negara ini," katanya. - Bernama

UMNO 'husnuzon' terhadap Muafakat Nasional

Ahmad Zahid berkata parti itu akan terus mengambil sikap 'husnuzon' (bersangka baik) terhadap Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata pihaknya perlu sentiasa bersangka baik kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun pada masa ini pihaknya hanya mahu memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Dalam pakatan besar ini, terdapat 20 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak... Yang penting kukuhkan ini dahulu.

"Soal MN bergantung kepada siapa yang akan memimpin parti, yang ambil jalan untuk 'mufarakah' (keluar), tapi mungkin jika ada pertukaran pemimpin, hala tuju akan berubah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini MN yang dibentuk pada 2019 melibatkan kerjasama atara UMNO dan Pas.

Ditanya adakah MN telah berkubur, beliau berkata: "Ia masih di air tapi sama ada masih timbul atau tenggelam bergantung kepada kekuatan kakinya yang telah patah. Dulu patah sebelah, sekarang patah satu lagi," katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata pada masa ini pihaknya akan terus mengambil pendekatan berfikiran secara progresif demi kepentingan ummah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!