KOM patut bincang sebelum letak sasaran

Irfan (kanan) pada sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu sempena persiapan atlet ke Sukan SEA. - Foto Bernama
Irfan (kanan) pada sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu sempena persiapan atlet ke Sukan SEA. - Foto Bernama
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sepatutnya berbincang dahulu dengan atlet sebelum menetapkan sasaran pingat untuk Sukan SEA 2023 Kemboja, kata jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Pemenang pingat emas Sukan SEA lima kali berturut-turut itu berkata, hingga sekarang tiada apa-apa perbincangan mengenai persiapan dan perancangan daripada pihak persatuan untuk temasya yang akan berlangsung 5 hingga17 Mei ini.

Mengulas mengenai sasaran 10 emas yang ditetapkan oleh KOM, Muhammad Irfan yang merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2017, mempersoalkan daripada acara apakah pingat itu bakal hadir.

“Pihak persatuan patutnya beritahu sasaran pingat itu menerusi acara apa, dan bincang dengan atlet yang terlibat bagaimana hendak mencapai sasaran itu, serta apa yang diperlukan untuk mencapai sasaran. Buat masa ini, tiada apa-apa perbincangan dengan saya, hanya ada minta salinan pasport.

“Macam KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) buat ‘townhall’ untuk bincang persediaan. Jadi persatuan pun perlu ambil tanggungjawab tanya apa masalah yang dihadapi oleh atlet,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA Kemboja, Sharon Wee di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Muhammad Irfan, 27, berkata, tidak mustahil untuk mencapai sasaran 10 emas itu, namun KOM harus membantu atlet dari segi persiapan dan perancangan menjelang temasya dwitahunan berkenaan.

“Saya gembira kalau kita dapat 10 emas kerana ada banyak atlet muda kali ini. Mereka mempunyai harapan yang tinggi, tetapi jika (persiapan) tergantung, mereka mungkin patah semangat, macam dulu saya terpaksa merayu untuk menyertai kejohanan di luar negara.

“Adalah lebih baik kalau mereka maklumkan ini sasaran dan matlamatnya, baru kita tahu mereka serius dan mempunyai misi yang sama,” katanya.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan sasaran 10 emas itu pada Jun tahun lepas, lebih kurang dua minggu selepas kembali menerajui badan induk olahraga itu,

Pada Sukan SEA lepas yang diadakan di Hanoi, Vietnam pada Mei 2022, skuad olahraga negara sekadar meraih lima daripada keseluruhan 47 pingat emas yang ditawarkan bagi acara trek dan padang.

Sementara itu, Muhammad Irfan berkata, beliau menyasarkan untuk mempertahankan emasnya di Phnom Penh, sebagai pemanas badan untuk mencapai misi pingat di Kejohanan Asia di Pattaya, Thailand bermula 12–16 Julai dan Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 Sept hingga 8 Ogos ini.

“Saya berharap dapat bebas daripada sebarang kecederaan kerana musim ini agak panjang iaitu hingga Sukan Asia. Sekarang saya banyak fokus pada teknik, kerana dari segi kekuatan tak ada banyak masalah,” katanya yang meraih emas acara lempar cakera lelaki sejak Sukan SEA 2013 Myanmar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!