Misi sifar doping skuad badang negara
JURULATIH angkat berat kebangsaan, Yon Haryono yakin skuad angkat berat negara yang bakal beraksi di Sukan SEA dan kelayakan Sukan Olimpik bebas penggunaan bahan terlarang.
Ia kerana dua badang yang akan beraksi di Kejohanan Asia di Jinju, Korea Selatan bermula 3-13 Mei ini yang merupakan kelayakan ke Olimpik Paris 2024 dan lima badang ke Sukan SEA bermula 5-17 Mei di Phnom Penh menjalani ujian doping setiap bulan.
“Memang Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengambil sampel air kencing sebulan sekali, jadi saya yakin tiada isu doping,” katanya kepada pemberita sempena lawatan Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Sharon Wee ke latihan skuad angkat berat pada Rabu.
Walaupun hanya Muhammad Erry Hidayat berlatih di bawah pengawasannya di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil manakala atlet lain berlatih di negeri masing-masing, namun beliau yakin jurulatih di negeri juga faham akan tanggungjawab membendung gejala doping.
Yon berkata, jurulatih di negeri juga perlu sentiasa memberikan nasihat dan kesedaran kepada anak buah masing-masing mengenai risiko doping serta kesannya kerana sukan itu kerap terpalit dengan penggunaan bahan terlarang.
“Sebagai jurulatih, kita tak boleh berhenti beri pengetahuan bahawa tidak boleh terlibat dengan penggunaan bahan terlarang, kerana pertamanya masa depan hancur, seterusnya rosakkan kesihatan dan mengancam sukan angkat berat di Malaysia kerana mungkin digantung oleh badan dunia.
“Untuk meningkatkan prestasi, bukan doping (caranya), kita kena berlatih, jaga pemakanan, jaga pengambilan suplemen dan rehat yang cukup. Disiplin menjadi faktor utama untuk elak doping, bukan hanya ketika latihan tetapi pada setiap masa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!