Bekas jururawat sebak dapat bercuti di Inap Rahmah RM5

Nurul Himmah (dua, kiri) ketika melawat keluarga itu di Homestay Sarasera di Bukit Katil.
Nurul Himmah (dua, kiri) ketika melawat keluarga itu di Homestay Sarasera di Bukit Katil.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas jururawat yang kini suri rumah sepenuh masa, sebak terpilih untuk mendiami Inap Rahmah dengan kadar bayaran RM5 semalam.

Siti Nurul Hasyimah Yusoff, 29, berkata, hasratnya untuk membawa abang dan kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) untuk bercuti dengan harga berpatutan tercapai.

Menurutnya, sejak berhenti kerja lebih empat tahun lalu, dia memikul tanggungjawab menjaga bapa, Yusoff Sulaiman, 68, menghidap strok selain kaki kanan telah dipotong serta dua beradiknya masing-masing berusia 45 dan 46 tahun yang OKU.

Katanya, sebelum ini beberapa kali terfikir untuk membawa mereka sekeluarga bercuti, namun kekangan kewangan dan tenaga menyukarkan untuk dia membawa ibu bapa dan adik- beradik bercuti bersama.

"Abang dan kakak saya OKU dan sukar mencari tempat yang mesra OKU dan lebih privasi dengan harga murah.

"Pernah sebelum ini kami menginap di hotel ketika saya masih bekerja.

"Namun ada yang memandang pelik melihat keadaan abang saya berusia 46 tahun OKU, jadi bila ada kolam persendirian begini lebih selesa dan tidak mengganggu sesiapa," katanya ketika ditemui di Homestay Saresera di Bukit Katil, di sini, pada Rabu.

Dia yang menatap di Batu Caves Selangor, berkata, meskipun hanya menginap semalam, namun berpuas hati kerana penginapan itu dilengkapi kolam mandi dan kemudahan lain yang secara tidak langsung memberi keterujaan kepada abang dan kakaknya.

Menurutnya, yang belum dianugerahkan anak, percaya dengan rezeki yang diberikan ALLAH SWT dalam pelbagai bentuk termasuk kesihatan yang baik kerana ibunya, Siti Rahmah Said Ideris, 68, juga mengalami masalah kesihatan dan perlu menjalani dialisis setiap minggu.

Siti Nurul Hasyimah (tiga, kiri) bersama ibu bapa serta abang dan kakak OKU ketika menginap di Homestay Sarasera di Bukit Katil di sini, pada Rabu.
Siti Nurul Hasyimah (tiga, kiri) bersama ibu bapa serta abang dan kakak OKU ketika menginap di Homestay Sarasera di Bukit Katil di sini, pada Rabu.

Ujarnya, mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan kelulusan menginap di kediaman itu setelah memberikan dokumen yang diperlukan kepada pemilik inap desa tersebut termasuk salinan pengesahan bapanya merupakan penerima bantuan bulanan dan kad OKU kedua-dua beradiknya.

"Alhamdulillah sangat mudah, dah lebih 10 tahun tak dapat menikmati percutian bersama keluarga seperti ini dan akhirnya ALLAH makbulkan dengan pakej percutian yang berpatutan," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Sementara itu, pemilik Sarasera Homestay, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman, 34, berkata pakej yang ditawarkan itu khusus untuk golongan B40 dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ujarnya, harga sebenar penginapan yang ditetapkan adalah RM650 semalam pada hari biasa dan RM750 pada cuti umum serta hujung minggu.

"Pakej ini telah bermula sejak Februari lalu hingga bulan ini sebagai satu cara saya membuat kebajikan dan menggembirakan B40 untuk bercuti dengan harga murah.

"Saya terharu apabila ada keluarga yang benar-benar tergolong dalam B40 mengambil peluang untuk menginap di sini, kerana ada juga yang mahu mengambil kesempatan sedangkan mereka berkemampuan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!