Klopp kecewa Liverpool gagal beri 'persembahan istimewa'
JURGEN Klopp mengakui kecewa Liverpool tidak dapat menghasilkan 'persembahan istimewa' ketika menentang Real Madrid yang menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Liverpool hadir ke Santiago Bernabeu untuk perlawanan timbal balik dalam pusingan 16 terakhir dengan tugas berat perlu menukar defisit 2-5 selepas perlawanan pertama di Anfield.
Bagaimanapun, The Reds tidak mampu berbuat demikian sebaliknya tewas 0-1 menerusi gol penyerang Real Madrid, Karim Benzema sekali gus tunduk dengan agregat 2-6.
Klopp berkata, kekalahan teruk di Anfield pada perlawanan pertama memberi kesan kepada percubaan Liverpool untuk mengubah perlawanan tersebut.
"Sejujurnya, jika kami seri sekali pun di tempat sendiri dan bermain perlawanan yang kami tunjukkan malam ini, kami mungkin akan tersingkir juga. Kami tidak boleh datang ke sini dan berharap anda mendapat sesuatu.
"Kami bersedia untuk memberikan persembahan istimewa, tetapi kami tidak dapat melakukannya di atas padang malam ini.
"Saya rasa tiada siapa yang terfikir bagaimana Liverpool boleh keluar. Mereka adalah pasukan yang lebih baik. Begitulah cara mereka mara ke pusingan seterusnya," katanya.
Klopp juga menegaskan Liverpool bernasib baik tidak bolos dengan jumlah jaringan yang banyak selepas Alisson bertindak cemerlang dalam perlawanan itu.
"Mungkin terdapat 500,000 cara berbeza untuk keluar daripada saingan ini, dan situasi ini yang berlaku kepada kami malam ini.
"Ia bukan apa yang kami mahu, tetapi ia adalah apa yang kami dapat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!