Pulau Pinang beri pengecualian tauliah kepada tokoh ternama
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersetuju dengan cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung pengecualian atau pemberian tauliah khas kepada tokoh-tokoh agamawan atau ulama tertentu.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan mengenai perkara itu telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 14 November tahun lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 121 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.
"Pihak berkuasa agama Pulau Pinang memang bersetuju dengan cadangan tersebut malah keputusan telah pun dibuat untuk meluluskan cadangan sedemikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh saya sendiri.
"Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 121 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada mana-mana peruntukan bahagian ini iaitu pentauliahan mengajar dan ceramah agama di Pulau Pinang)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas cadangan Zulkifli mengenai tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealimannya perlu diberi pengecualian tauliah mengajar oleh pihak berkuasa agama sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri.
Zulkifli berkata, tauliah khas itu perlu kerana sesuai kealiman serta kedudukan tokoh itu dalam sesebuah negara atau institusi oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau mufti negeri berkenaan, apatah lagi di luar negara.
Dalam pada itu, Wan Salim menambah, Kaedah 8(1) berkaitan pengajaran agama Negeri Pulau Pinang 1998 pula memperuntukkan bahawa seseorang itu layak diberi tauliah untuk mengajar dengan beberapa syarat tertentu.
"Mengikut kaedah itu, seseorang itu layak diberi tauliah untuk mengajar sekiranya dia berkelulusan pengajian tinggi Islam dari universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh MAINPP.
"Selain itu, seseorang itu berkelulusan daripada institusi pengajian agama Islam tempatan yang diiktiraf oleh MAINPP atau berkemahiran dalam hukum syarak," katanya.
Ujar beliau lagi, semua pemegang tauliah mengajar agama Islam di negeri ini adalah dikehendaki mematuhi etika penyampaian yang digariskan serta memiliki akhlak yang sewajarnya.
"Sebarang perilaku buruk, penyampaian yang salah serta berpolitik kepartian boleh menyebabkan tauliah mengajar agama Islam ditarik balik oleh MAINPP. Syarat-syarat lain ialah tidak mengajar fahaman yang bertentangan dengan pegangan ahli Sunnah Wal Jama’ah serta tidak menyentuh kedudukan Raja-raja.
"Penceramah juga tidak dibenarkan menyampaikan kuliah yang boleh menyinggung perasaan mana-mana individu atau kaum, agama dan budaya rakyat Malaysia, tidak menyentuh isu-isu politik kepartian serta perkara-perkara khilafiah iaitu yang diperselisihkan oleh para ulama," katanya.
Sebelum ini, MAINPP menamakan 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.
Mereka adalah Datuk Kazim Elias, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.
Satu pekeliling bertarikh 4 November 2022 telah dikeluarkan oleh MAINPP dengan menyenaraikan kesemua individu tersebut selepas MAINPP menerima aduan daripada orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!