Kadar zakat fitrah Perak kekal

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

IPOH - Kadar zakat fitrah di Perak tahun ini kekal iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut kepada jenis beras yang lazim dimakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 6 hingga 8 Disember tahun lalu.

"Harga minima yang perlu dibayar setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM7.

"Digalakkan mereka yang menggunakan beras wangi atau setara sebanyak RM14 dan bagi yang menggunakan beras basmathi atau yang seumpama sebanyak RM21," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bagi kemudahan bayaran dalam talian, MAIPk menyediakan beberapa platform seperti Financial Process eXchange (FPX) melalui portal MAIPk, aplikasi GoPayZ, Shopee, Maybank2u dan aplikasi Snap N Pay.

Katanya, bayaran melalui amil pula, kutipan zakat fitrah boleh dilakukan melalui kaunter di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih.

"Kaedah ini juga boleh dilaksanakan oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!