Program antara agama tidak harus disekat - Muda
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berpendapat program antara agama dan aktiviti melawat rumah ibadat agama lain tidak seharusnya disekat sebaliknya diraikan.
Ketua Penerangan Muda, Luqman Long mempersoalkan kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa kerajaan negeri Selangor melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Menurut beliau, keputusan tersebut tidak membantu masyarakat berbilang agama dan kaum untuk hidup harmoni.
"Muda sendiri banyak kali mengadakan program untuk semua ahli termasuklah sambutan Pongal, Hari Raya Aidiliftri, Maulidur Rasul, Hari Natal, membuka Thaneer Panthal untuk sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina. Ia disertai oleh semua ahli Muda, tak kiralah Muslim atau bukan Muslim.
"Ada juga ahli Muda bukan Muslim yang datang membersihkan surau dan masjid di kawasan banjir.
"Jadi apabila ada larangan untuk orang berlainan kepercayaan untuk melawat rumah ibadah yang lain, saya menjadi sangat risau kerana sudah sekian lama, tidak pernah ada masalah pun apabila rakyat meraikan kerencaman rakyat yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, menurut Luqman, agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia menerima kecaman daripada beberapa pihak termasuk pembangkang berkaitan program yang dinamakan ‘Projek Artikel 11”.
Bagaimanapun Impact Malaysia menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menganjurkan program 'Kristian evangelis' menerusi program tersebut.
Projek Artikel 11 ialah program melibatkan golongan belia yang dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.
Pada Rabu, Mohd Zawawi dilaporkan berkata, program sedemikian perlu mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tindakan boleh diambil terhadap individu yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 5 dan 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam).
Dalam pada itu, Luqman turut mempersoalkan apakah selepas ini orang bukan beragama Hindu tidak lagi boleh melawat Batu Caves atau penganut Kristian dan Buddha tidak lagi dibenarkan melawat masjid.
"Bagaimana pula pemimpin negara yang dijemput untuk meraikan sambutan penganut agama lain?
"Adakah mereka juga akan dilarang masuk atau bagi pemimpin, ada syarat lain yang lebih longgar?
"Pesan saya (dan juga Muda), jika rakyat ingin mengambil tahu, bertukar fikiran dan pendapat soal agama, kepercayaan dan iman penganut masing-masing, berilah ruang kepada mereka," ujarnya.
Tambahnya, tiada masalah untuk program seumpama itu dijalankan asalkan bersandarkan kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan.
“Berilah kepercayaan kepada iman dan takwa semua penganut agama di Malaysia pasti sentiasa aman dan harmoni," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!