'Jangan saman parkir dekat hospital'

Sivanesan (duduk, tengah) menunjukkan ruang parkir baharu yang akan disiapkan pada pertengahan Mei depan ketika mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Greentown di sini pada Khamis.
Sivanesan (duduk, tengah) menunjukkan ruang parkir baharu yang akan disiapkan pada pertengahan Mei depan ketika mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Greentown di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri akan berbincangan dengan pihak penguat kuasa trafik untuk tidak mengenakan saman kepada pesakit dan pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, tindakan itu dilihat sebagai usaha pihaknya mengatasi masalah kekurangan parkir di hospital berkenaan sementara menunggu ruang meletakkan kenderaan baharu siap.

Menurutnya, ketika ini ruang parkir berhampiran Klinik Kesihatan Greentown ditutup sementara bagi kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Klinik Ibu dan Anak Greentown termasuk penyediaan ruang parkir sebanyak 240 petak.

"Minggu depan saya akan berjumpa dengan Ketua Polis Perak dan akan bincang supaya pihak PDRM untuk waktu-waktu tertentu tidak keluarkan saman terhadap orang yang parkir di tepi jalan khasnya pada waktu pagi jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan waktu melawat.

"MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) juga kita akan adakan mesyuarat dan meminta mereka memberikan cadangan untuk menguruskan isu ini. Sekarang aduan yang kita terima memang parkir tidak mencukupi, itu memang kita akui," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Greentown pada Khamis.

Sivanesan (kanan) melihat tapak cadangan parkir baharu untuk pelawat HRPB yang akan disiapkan pada pertengahan Mei depan ketika mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Greentown di sini pada Khamis.
Sivanesan (kanan) melihat tapak cadangan parkir baharu untuk pelawat HRPB yang akan disiapkan pada pertengahan Mei depan ketika mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Greentown di sini pada Khamis.

Sivanesan berkata, pembinaan bangunan baharu Klinik Ibu dan Anak Greentown tersebut dimulakan pada 25 Januari lalu dan dijangka siap pada Julai 2025 tetapi ruang parkir akan disiapkan terlebih dahulu bagi memudahkan pengunjung HRPB.

Beliau berkata, ruang parkir berjumlah 240 petak itu akan disiapkan pada 15 Mei depan dan pelawat hanya perlu menunggu tidak sampai dua bulan untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya juga akan berbincang dengan Menteri Kemajuan Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk membina ruang parkir tambahan di Hospital Teluk Intan.

Sivanesan berkata, memang terdapat tanah kosong yang sesuai dibangunkan sebagai tapak parkir bagi hospital berkenaan namun memerlukan peruntukan untuk merealisasikannya.

Malah beliau mendedahkan terdapat syarikat swasta yang berminat untuk membangunkan kemudahan parkir di hospital berkenaan.

"Saya dapat panggilan dari sebuah syarikat dari China yang sanggup bina kompleks parkir ini di Hospital Teluk Intan.

"Kalau tawaran diberikan munasabah, kerajaan negeri akan ambil keputusan sama ada nak swastakan parkir di Teluk Intan atau sebaliknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!