Ops Tiris: KPDN tahan lelaki bersama 21,000 liter minyak diesel
DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu berjaya merampas 21,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi, sebuah lori tangki dan sebuah skid tank dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM102,580.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi Ops Tiris pada jam 11.40 pagi di sebuah tapak projek pembinaan disyaki menggunakan diesel bersubsidi di Kuala Dungun, di sini pada Rabu.
Menurutnya, susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an disyaki bekerja sebagai penyelia tapak projek di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Serbuan dijalankan empat Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Terengganu selepas mendapati berlakunya aktiviti mencurigakan kerana memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan iaitu diesel dalam keadaan menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di lokasi kejadian telah menemukan sebuah lori tangki dan skid tank berisi minyak diesel.
“Dianggarkan terdapat lebih kurang 13,000 liter minyak diesel di dalam skid tank dan lebih kurang 8,000 liter minyak diesel di dalam lori tangki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
Saharuddin berkata, pihaknya sudah melakukan risikan selama seminggu sebelum berjaya membongkarkan kegiatan menyalahi undang-undang tersebut.
Katanya, Ops Tiris dilaksanakan bertujuan membendung masalah ketirisan subsidi diesel.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!