MKT UMNO wajar bawah usia 55 tahun - Muqharabbin

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Perwakilan dan kepimpinan UMNO perlu memberi ruang kepada pemimpin muda untuk diangkat sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, parti tersebut perlu berubah agar kekal relevan dan meningkatkan keyakinan rakyat kepada mereka.

“Saya minta 18 orang daripada 25 orang calon MKT UMNO dipilih bawah usia 55 tahun agar berlaku perubahan dalam parti dan bukan sekadar retorik.

“Setiap perwakilan yang bertanding di peringkat bahagian sama ada ketua atau timbalan ketua perlu sepakat memberi 70 peratus ruang kepada kepimpinan muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Muqharabbin, terdapat beberapa pemimpin lama yang masih kekal bertanding di setiap jawatan walaupun sudah berlaku perubahan pucuk kepimpinan sehingga menimbulkan persepsi bahawa parti tersebut seperti kurang relevan dengan mengekalkan wajah lama.

Tambah beliau, pemimpin baharu dan berani akan memberi sinar buat parti tersebut di samping tidak menolak untuk meminta khidmat nasihat daripada ahli yang lebih lama.

"Masih ada beberapa pemimpin yang pernah menjadi MKT semenjak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad masih ingin bertanding. Mana mungkin UMNO ingin dilihat relevan dan berubah.

“Saya minta beri undi dan ruang kepada calon baharu dan mampu membawa sinar perubahan buat parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pemimpin muda diberikan peluang untuk bersama-sama memperkukuh parti agar kembali diyakini oleh rakyat.

“Tempat ini penting bagi saya untuk membawa idea, mengkritik, dikritik, memberi pandangan dan melaksanakan pelbagai perancangan dalam membawa UMNO kembali diyakini rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!