TRWC KLIA sambut ulang tahun ke-13
PORT DICKSON - Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, The Red Warrior KLIA (TRWC KLIA) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-13 di Pantai Purnama Port Dickson di sini minggu lalu.
Presidennya, Rozaki Ab Kadir, 43, berkata, program yang diadakan secara tahunan itu bertujuan mengeratkan silaturahim bukan saja dalam kalangan ahli kelab tetapi juga dengan anak-anak Kelantan di perantauan.
"Sambutan ulang tahun kita kali ini dihadiri seramai 60 ahli termasuk keluarga masing-masing dan ia merupakan program pertama diadakan tahun ini.
"Sebenarnya program yang kelab anjurkan bukan untuk ahli sahaja tetapi turut terbuka kepada semua anak-anak Kelantan kerana matlamat kita adalah mahu menyatukan warga Kelantan walau di mana mereka berada," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, kelab berkenaan kini mempunyai keahlian seramai 1,000 orang namun hanya sebahagian sahaja yang masih aktif.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap berusaha menganjurkan pelbagai program bersesuaian seperti aktiviti sosial, keagamaan dan kebajikan setiap tahun.
"Kita bermula sebagai kelab penyokong bola sepak Kelantan dan daripada situ kita wujudkan komuniti dengan anak-anak Kelantan di sekitar Lembah Klang," ujarnya.
Sementara itu, pada sambutan ulang tahun berkenaan turut diadakan acara sukaneka dan cabutan bertuah yang bertujuan memeriahkan lagi suasana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!