AUKU tidak dimansuhkan, penting dalam tadbir urus IPT

Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohd Yusof Apdal (tengah). Foto: Facebook KPT
Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohd Yusof Apdal (tengah). Foto: Facebook KPT
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berpendirian bahawa pendekatan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), merupakan langkah yang lebih tepat berbanding memansuhkan terus akta itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, AUKU dilihat masih relevan dan penting dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti Institusi Pengajian Tinggi dengan kerajaan serta masyarakat.

"Kementerian berpandangan bahawa AUKU adalah satu akta yang penting, relevan dan berfungsi dengan baik dan sebarang kelemahan yang terdapat di dalamnya boleh diperhalusi dan ditambah baik melalui pindaan dan bukan melalui pemansuhan.

"Pengenalan akta baharu bagi menggantikannya hanya akan mengambil kembali dan mengguna pakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada di dalam AUKU. Tindakan ini tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) tentang kesudian kementerian memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi Baharu berdasarkan kertas polisi Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU yang ditubuhkan pada 2018 berserta garis masa dan pelan kerja pemansuhan AUKU.

Berhubung Jawatankuasa Teknikal Mansuh AUKU 2018, Mohammad Yusof berkata, saranan dan dapatan jawatankuasa tersebut telah diambil tindakan dan terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi.

Ia termasuk mengambil kira pindaan AUKU pada 2019 yang membenarkan mahasiswa untuk berpolitik di dalam dan luar kampus serta bertanding di dalam pilihan raya dengan pelaksanaan fasa pertamanya sedang dimuktamadkan.

"Ia melibatkan langkah membangunkan beberapa garis panduan yang bersesuaian bertujuan memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus dengan cara yang selamat serta teratur.

"Ia kini dalam peringkat pemurnian sebelum diedarkan ke semua universiti awam untuk tindakan dan pelaksanaan sementara fasa kedu akan melihat keperluan meminda atau memansuh beberapa peruntukan yang seterusnya di dalam AUKU,” katanya.

Mohamad Yusof berkata, kementerian juga sedang meneliti semua peruntukan berkaitan dengan pelajar di dalam AUKU khususnya berkenaan urusan akaun dan kewangan persatuan mahasiswa. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!