Permintaan labuhkan kaki seluar sekolah sentuh hati tukang jahit

Sharipah Sadiah banyak menerima pelanggan yang ingin membaiki pakaian sekolah anak-anak mereka
Sharipah Sadiah banyak menerima pelanggan yang ingin membaiki pakaian sekolah anak-anak mereka
A
A
A

SEREMBAN - Menjelang beberapa hari sesi persekolahan akan dibuka, semestinya ibu bapa sibuk membuat persiapan untuk anak-anak.

Bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan, mereka terpaksa meminta anak-anak menyarung semula baju dan kasut sekolah sedia ada meskipun ia sudah kelihatan lusuh.

Malah disebabkan mahu berjimat, ada yang ke kedai jahit untuk baiki atau ubah seragam sekolah anak dan ia diakui oleh seorang tukang jahit di Sikamat dekat sini.

Bercakap kepada Sinar Harian, Sharipah Sadiah Khalid, 40, berkata, situasi itu bukanlah perkara baharu buatnya namun kehadiran seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bernama M Santosh ke kedainya Ahad lalu yang mahu mengubah saiz seluar sekolahnya amat menyentuh hatinya.

"Warna seluar itu sudah kelihatan lusuh dan dia minta tolong labuhkan seluar sekolah itu. Labuh asal (panjang) 36 inci dan dia minta kalau dapat jadikan 37 inci.

"Masa tu saya terfikir macam mana nak lipat kaki seluar tu sebab basi seluar itu hanya ada satu inci. Dia suruh saya lipat mana yang boleh supaya tak nampak singkat," ujarnya.

Menurutnya, remaja berkenaan sudah tiga kali datang ke kedainya untuk baiki seluar sebelum ini, cuma bezanya kali ini dia datang untuk labuhkan seluarnya.

Bagaimanapun katanya, selepas seluar itu siap dibaiki, remaja terbabit tidak datang ke kedai untuk mengambilnya.

"Jadi saya ambil inisiatif hantar ke rumahnya kerana anak saya pernah main basikal dengannya.

Kedai jahit Sharipah Sadiah di Rumah Rakyat sikamat
Kedai jahit Sharipah Sadiah di Rumah Rakyat sikamat

"Dia agak terkejut kerana saya hantar seluarnya ke rumah. Ibunya nak bayar upah tetapi saya tolak kerana niat untuk bantu dan tahu ada ibu bapa yang memang 'struggle' untuk buat persiapan persekolahan anak-anak," jelasnya.

Berkongsi kisah lain, Sharipah Sadiah berkata, ada juga suami isteri bekerja tetapi disebabkan mempunyai anak ramai, mereka terpaksa pakai pakaian sedia.

Ujarnya, rakannya itu terpaksa memberi keutamaan kepada anak yang lebih besar kerana pakaian seragam sekolah si abang atau kakak masih boleh dipakai oleh adik.

"Kadang-kadang saya tolong saja kerana faham ada ibu bapa yang memang betul-betul susah ditambah pula dengan keadaan harga kelengkapan persekolahan meningkat.

"Malah selepas saya kongsi kisah Santosh di Facebook, ramai pula ibu bapa yang datang kedai nak ubah baiki sekolah anak-anak," katanya.

Berhubung hantaran di Facebook yang tular, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, niatnya adalah untuk berkongsi kisah remaja itu yang dianggap satu contoh baik untuk anak muda lain.

"Saya bukan nak ceritakan dia (remaja lelaki) susah tetapi nak sampaikan mesej ada lagi anak muda yang sedia bertolak ansur dengan ibu bapa dan tak desak untuk pakaian sekolah baharu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!