230kg ikan basah dari Indonesia dirampas
MANJUNG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas 230 kilogram ikan basah yang dibawa masuk dari Indonesia tanpa permit di Pelabuhan Lumut di sini pada Rabu.
Pengarah Maqis Perak, Mohd Noor Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin bagi barangan import di pintu masuk pelabuhan.
Menurutnya, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM5,000 itu termasuklah ikan kerapu, merah, jenahak, tenggiri, kerisi, udang harimau dan udang galah.
"Pemain industri perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Perbuatan mengimport dagangan tanpa permit yang sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!