KKD mudahkan permohonan penggambaran filem artis luar negara

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha memastikan urusan permohonan bagi penggambaran filem dan persembahan artis luar negara lebih mudah iaitu menerusi kaedah digital bagi merancakkan lagi industri seni persembahan di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kementerian itu bekerjasama dengan Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi merealisasikan perkara itu.

"Seiring dengan konsep Malaysia Madani di bawah nilai teras kemapanan, PUSPAL sedang dalam proses pendigitalan dan operasi secara 'end to end' bagi memudahkan urusan permohonan sekali gus merancakkan lagi industri seni persembahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau terdahulu menghadiri sesi dialog awam bersama industri (MBI) yang terdiri daripada penggiat seni persembahan tarian, nyanyian, teater dan sebagainya.

Fahmi berkata, sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Negara (PUSPAL) bagi mendengar maklum balas pemain industri baik Garis Panduan PUSPAL (GPP).

"Kira-kira 200 penggiat industri telah hadir pada sesi dialog awam ini. PUSPAL akan membuat pertimbangan berhubung sebarang cadangan yang diajukan oleh pemain industri," katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek, serta ahli jawatankuasa PUSPAL yang terdiri daripada 16 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!