Pengarah Mentega Terbang diugut, polis buka kertas siasatan
SHAH ALAM - Polis telah membuka kertas siasatan khianat dan ugutan terhadap pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat kedua-dua individu berkenaan.
"Laporan dibuat oleh kedua-dua individu terlibat di kawasan Ampang Jaya serta Kajang dan proses rakam keterangan turut dijalankan.
"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Khamis, pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang menerima ugutan selain kereta milik kedua mangsa disimbah cat dan asid.
Kejadian tersebut dikongsikan menerusi tangkap layar di halaman Twitter yang memaparkan gambar kereta dan beberapa keping nota berbaur ugutan yang diterima kedua-dua individu berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!