UMNO Bachok fokus pemilihan, serah isu calon kepada JPU

Mohd Zain
Mohd Zain
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Bachok fokus kepada pemilihan yang akan berlangsung pada Sabtu ini biarpun terpalit isu membabitkan kelayakan seorang calon bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian di kawasan itu.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, bahagian tersebut menghormati dan mematuhi semua keputusan yang dibuat oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023.

“Saya tidak mencampuri urusan itu, malah fokus kepada pemilihan yang akan berlangsung dua hari lagi.

“Hanya JPU yang berhak untuk menentukan sebarang keputusan berkait perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan tular surat aduan berkaitan kelayakan seorang calon bertanding jawatan Ketua Bahagian Bachok iaitu Datuk Yusri Che Noh yang didakwa berstatus ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) ‘seumur hidup’.

Aduan dikemukakan pada 13 Mac lalu, namun sumber ahli UMNO bahagian itu memberitahu JPU dikatakan membenarkan individu berkenaan bertanding.

Dalam pada itu, Mohd Zain yang bertanding bagi mempertahankan jawatan tersebut berharap pemilihan dibuat terhadap ahli yang berkelayakan dan dapat membawa kemajuan kepada UMNO.

“Pilihlah individu yang berkaliber untuk memimpin parti bagi mendepani cabaran dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!