Volkswagen bawa 6 PATI, tekong terbabas
RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh bersama seorang tekong warga tempatan cedera selepas kereta jenis Volkswagen Jetta dinaiki terbabas di Kampung Gual Bunut Kubang Kual di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku pada jam 7 malam membabitkan Volkswagen Jetta berwarna biru gelap yang dinaiki kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 23 hingga 52 tahun.
“Pegawai dan anggota balai Rantau Panjang dan Balai Lubok Stol yang menjalankan rondaan Ops Tapis Bersepadu terserempak dengan kereta yang terbabas di tepi jalan.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut menemui seorang lelaki warga tempatan bersama 19 pil disyaki dadah dan enam lelaki warga asing,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Beliau berkata, seorang PATI dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia dan seorang lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.
“Tekong yang juga pemandu kenderaan itu dan empat lagi PATI yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke balai polis untuk tindakan seterusnya.
“Tekong tersebut ditahan mengikut SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) manakala kesemua lelaki Bangladesh itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah beliau, semakan terhadap tekong lelaki berusia 23 tahun itu didapati mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai pekerjaan.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!