Pegawai polis meninggal dunia ketika perlawanan bola sepak

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Ketua Cawangan Khas IPD Sibu, Deputi Superintendan Gregory Emilio meninggal dunia selepas rebah ketika perlawanan bola sepak di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, kira-kira 10.15 pagi tadi, empat hari sebelum Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216.

Mendiang Gregory, 52, tiba-tiba rebah di padang bola sepak pusat sukan itu ketika perlawanan bola sepak persahabatan antara cawangan PDRM yang diadakan sempena sambutan Hari Polis tersebut.

Beliau kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada 10.56 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili menerusi kenyataan mengesahkan kejadian itu.

"Mendiang meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara 17 hingga 27 tahun. Seluruh warga IPD Sibu mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Zulkipli berkata, Gregory memegang jawatan Ketua Cawangan Khas IPD Sibu sejak 2021 dan telah berkhidmat dengan pasukan polis selama 28 tahun.

Jasad mendiang dirujuk ke Hospital Sibu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!